Sejarah KKM
Sejarah perkhidmatan kesihatan di negara ini bermula sejak sebelum merdeka lagi. Pembinaan hospital ketika itu adalah untuk merawat pekerja-pekerja dalam industri perlombongan bijih timah. Setiap pekerja lombong harus membayar 50 sen setahun untuk mendapatkan rawatan. Oleh kerana industri perlombongan bijih timah berkembang pesat di Perak, pada akhir abad ke-19 maka negeri ini mempunyai paling banyak hospital iaitu 15 buah. Hospital-hospital tersebut ialah Hospital Taiping, Teluk Intan, Tapah, Sg. Siput, Slim River, Sri Manjung, Selama, Parit Buntar, Kuala Kangsar, Kampar, Ipoh, Grik, Changkat Melintang, Batu Gajah dan Tanjung Rambutan.
Pada tahun 1880, Hospital Taiping iaitu antara hospital tertua di negara ini dibina dan dikenali sebagai Hospital Yeng Wah. Hospital Taiping turut mencatat sejarah kerana menjadi hospital pertama dilengkapi dengan kemudahan x-ray selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada umum oleh penciptanya Prof. W.C Roentgen. Selain penubuhan hospital, tren penyakit berjangkit seperti malaria dan beri-beri, yang kerap berlaku mendorong kepada penubuhan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 1900. Kewujudan IMR adalah bertujuan untuk membuat kajian mengenai penyebab penyakit berjangkit ini dan kaedah untuk mengawal jangkitan terutama penyakit tropika.
Bukan itu sahaja, kebimbangan kemungkinan merebaknya penyakit ekoran daripada kekurangan zat makanan, penyakit cacar dan penyakit anjing gila juga mengukuhkan keperluan IMR ditubuhkan di negara ini. Bermula dari itu, kerja-kerja penyelidikan dan perkhidmatan rancak dijalankan dan pada tahun 1928, Bahagian Entomologi dan Badan Penasihat Malaria ditubuhkan. Menyusul selepas itu, diwujudkan pula Bahagian Pemakanan dan Biokimia, Bakteria serta Patologi.
0 Comments